Bengkel Smart Baca: Kuasai Teknik Bacaan Pantas & Fokus Maksimum

Cyberjaya, 30 April 2025 – Bengkel Smart Baca: Kuasai Teknik Bacaan Pantas & Fokus Maksimum anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak telah berjaya dilaksanakan di Dewan Serbaguna, Menara Cyber Axis, Cyberjaya. Program intensif yang bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang ini menghimpunkan seramai 47 orang peserta yang terdiri daripada staf pentadbiran, akreditasi, dan standard.

Sesi dikendalikan oleh Azura Mohamad Hashim, Timbalan Ketua Pustakawan selaku instruktor utama, bersama dua fasilitator iaitu Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, Pustakawan dan Nur Fatin Nadia Mohamed Nadzri, Pembantu Pustakawan. Bengkel ini menumpukan kepada penguasaan teknik bacaan pantas, strategi mengekalkan fokus, dan kemahiran pemetaan minda dalam pembacaan.

Peserta diberi peluang menjalani pelbagai aktiviti praktikal termasuk latihan kawalan pergerakan mata, pengurusan masa membaca, serta teknik mengingat maklumat secara visual. Pendekatan interaktif dan menyeluruh ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca secara efisien, tetapi turut memberi motivasi kepada peserta untuk terus memperkasa amalan membaca sebagai rutin harian.

Program ini selari dengan usaha literasi berimpak tinggi yang dirancang oleh perpustakaan dalam melahirkan pelajar yang cekap maklumat, berdikari dalam pembelajaran dan bersedia menghadapi cabaran akademik masa hadapan.