TELAAH@UKM: SUNGAI MENGALIR LESU

29 Ogos 2025 | Bangi, Selangor
Program TELAAH anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hadir di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) siang tadi dengan naskhah 'Sungai Mengalir Lesu', karya Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said menjadi fokus wacana yang mengangkat warisan sastera ke ruang intelektual kampus.
Pertama kali diterbitkan pada 1967 oleh Pustaka Gunung Tahan dan diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1988, novel ini mengangkat kisah kehidupan masyarakat marhaen di Sungai Rochor, Singapura semasa pendudukan Jepun, merakam penderitaan, pengorbanan dan ketabahan rakyat, sambil menampilkan kritikan sosial dengan bahasa puitis yang kekal relevan merentas generasi.
Moderator TELAAH, Sayed Munawar Sayed Mustar telah mengemudi sesi dengan teliti, mengaitkan kupasan ahli panel dengan persoalan kritikal yang membuka ruang wacana ilmiah yang segar dan bernas.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh, yang juga panel utama, berkata pemilihan novel ini berasaskan pengaruh mendalam yang ditinggalkan karya tersebut sedari beliau kecil.
“Karya ini membuatkan saya berfikir jauh tentang realiti masyarakat. Dunia hari ini, sama seperti naratif dalam novel ini, masih bergelut dengan anarki tanpa kepimpinan jelas,” katanya.
Prof. Dr. Sufian turut mengaitkan pengalamannya dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa dengan tema konflik dan ketidakseimbangan kuasa yang digarap pengarang, menjadikan kupasannya relevan dengan isu semasa.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Prof. Madya Dr. Mawar Safei, yang turut menjadi panel, menyifatkan Sungai Mengalir Lesu sebagai karya besar yang wajar menjadi bacaan wajib semua lapisan masyarakat.
“Membaca Sungai Mengalir Lesu adalah perjalanan penuh nilai kemanusiaan. Bahasa Pak Samad yang indah membawa pembaca menyelami kehidupan, kesusahan dan pengorbanan watak-wataknya, sambil mengajar kita erti syukur,” ujarnya.
Kehadiran pengarangnya, SN Datuk A. Samad Said menjadikan penganjuran kali ini lebih bermakna apabila beliau turut menyaksikan sendiri kupasan naskhah klasik tersebut dari perspektif akademik dan kontemporari.
Penganjuran kali ini turut memartabatkan peranan karya sastera seperti 'Sungai Mengalir Lesu' yang bukan sahaja menjadi instrumen penting membentuk pemikiran dan jati diri pembaca, malah mampu diangkat sebagai dokumen sosial yang merakam denyut nadi masyarakat dan menggerakkan wacana ilmiah yang segar serta bernilai tinggi.
KPT menyasarkan penganjuran Program TELAAH secara bulanan di semua Institusi Pendidikan Tinggi sebagai langkah strategik membudayakan amalan membaca, memperkaya pemikiran kritis dan membentuk masyarakat kampus yang berilmu serta progresif selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.