Forum "Tulisan Jawi Membina Peradaban Bangsa" telah berjaya menimbulkan kesedaran betapa besarnya pengaruh tulisan Jawi dalam peradaban bangsa Melayu.
Membuka bicara, Prof. Madya Dr. Adi Yasran menyelak lembaran sejarah bahawa tulisan Jawi telah bertapak di alam Melayu sekitar abad ke 14 apabila tulisan Jawi ditemui dipahat dipermukaan batu bersurat Terengganu.
Penelitian sejarawan mendapati tulisan Jawi tersebut mempunyai pengaruh istilah Melayu dan Arab.
Memetik pandangan cendekiawan Islam Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, masyarakat terdahulu amat bertepatan falsafah dan linguistik apabila sebutan diterjemah ke dalam huruf. Sebagai contoh huruf 'nya' dan 'vi' ditambah ke dalam tulisan Jawi walaupun huruf ini tiada dalam susunan asal huruf Arab.
Apabila diajukan persoalan tentang keistimewaan tulisan jawi dalam bangsa Melayu, Prof Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad menyatakan suatu ketika dahulu tulisan Jawi mempunyai kedudukan istimewa apabila golongan raja-raja dan pembesar Melayu menggunakan tulisan Jawi sebagai bahasa persuratan di kepulauan Melayu.
Daripada perkara jalinan hubungan diplomatik hinggalah perkara adat resam budaya kebanyakannya dicatat dalam tulisan Jawi.
Secara tidak langsung, penemuan catatan dalam tulisan Jawi memperlihatkan intelektualisme bangsa Melayu di tahap yang membanggakan.
Sedikit demi sedikit, tulisan Jawi membina peradaban Melayu menerusi identiti dan keilmuan.
Demi kelangsungan generasi yang mahir menulis Jawi, Dr. Adi menyeru agar generasi hari ini memahirkan diri menguasai kemahiran tulisan Jawi sebagai warisan yang telah sebati dalam budaya Melayu.
Apatah lagi kepakaran menterjemah dan mentafsir manuskrip lama ditulis Jawi amat diperlukan pada masa kini.
Usaha kerajaan dalam menyemarakkan tulisan Jawi sejak kebelakangan ini harus dipuji. Sebagai contoh, memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek Pendidikan Islam di semua sekolah rendah kebangsaan, hari Jumaat sebagai hari tulisan Jawi dan galakan penggunaan tulisan Jawi di papan-papan tanda premis, bangunan dan jalan raya,
Daripada sudut perundangan, tulisan Jawi telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan apabila perkara 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 mengiktiraf tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa kebangsaan.
Menampilkan Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin selaku moderator, bicara kedua-kedua panel di atas telah berjaya menambat hati kira-kira 30 orang penonton yang hadir pada 27 Mei 2023 hari Sabtu di Pustaka Raja Tun Uda.
Forum ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) sempena Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Selangor pada 27-28 Mei 2023.
ڬالري
⬩ GALERI