ڤمشهورن کمرديکاٴن تانه ملايو
Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu
ڤڠارڠ : تونكو عبد الرحمن ڤوترا الحج
Pengarang : Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj
- : ڤنربيت
Penerbit : -
- : جيليد / ايديسي
Jilid / Edisi : -
لوكاسي : کوليکسي خاص جاوي
Lokasi : Koleksi Khas Jawi
- : باهن
Bahan : Digital & Fizikal
بيدڠ : ڤرونداڠن
Bidang : Perundangan
موك سورت : 1
Muka Surat : 1
- : ا س ب ن
ISBN : -
تاهون تربيتن : 1957
Tahun Terbitan : 1957
هيتس : 15
Hits : 15
Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan ialah sijil kelahiran Tanah Melayu yang dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 untuk perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Dokumen berukuran 51 sentimeter (sm) x 74sm ini diperbuat daripada kulit kambing kerana lebih tahan lama. Penulis utama kandungan dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan ialah Ibrahim Mahmood yang berasal Tanjung Tokong, Pulau Pinang dan meninggal dunia pada 1990. Identiti penulis tangan khat Jawi ke atas kulit kambing masih belum dapat dikenal pasti hingga kini dan dipercayai salah seorangnya berasal dari Kelantan.
Sumber : Harian Metro
Transliterasi:
PEMASYHURAN KEMERDEKAAN
Dengan nama Allah Yang Maha Murah Lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat salam ke atas sekalian RasulNya.
Bahawasanya oleh kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimbal kedudukannya dengan segala bangsa di seluruh dunia.
Dan bahawasanya oleh kerana dengan perjanjian yang disebut namanya perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat diantara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri Melayu maka telah dipersetujui bahawa Negeri-Negeri Melayu iaitu Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta Negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang mulai daripada 31 haribulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi Negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula diantara kedua-dua pihak dalam perjanjian yang tersebut iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh yang tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatan Baginda diatas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula diantara kedua-dua pihak yang tersebut iaitu perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala perjanjian-perjanjian lain yang ada sekarang diantara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja- Raja atau pun salah seorang daripada Baginda-Baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuatkuasa-kuatkuasa dan hak-hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen atau pun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat yang tersebut itu atau pun yang berhubung dengannya atau Negeri-Megeri Melayu ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhnya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya oleh kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen United Kingdom dan Majlis- Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuatkuasanya.
Dan bahawasanya oleh kerana sebuah perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi sebuah kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan persekutuan yang tersebut itu maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen.
Dan bahawasanya oleh kerana perlembagaan persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan serta undang-undang yang diadakan oleh Negeri-Negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan di dalam majlis undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian perlembagaan itu telah berjalan kuatkuasanya pada 31 Ogos tahun 1957.
Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah Lagi Mengasihani, saya Tengku Abdul Rahman Putra Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhur dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai daripada tiga puluh satu haribulan ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya Negeri-Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah Subhanahu Wata'ala akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesantusaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan diantara segala bangsa.
Kuala Lumpur
31 haribulan Ogos tahun 1957 Perdana Menteri