Book Talk with Author: Neoliberalism, Governance and Public Participation in the Malaysian Planning System
OBJECTIVE
Pada 4 September 2024 (Rabu), satu sesi Book Talk With Author Siri Ke-8 telah berjaya dilaksanakan bertempat di Studio PTAR 1 dan disiarkan secara langsung melalui platform YouTube Live serta Facebook Live. Program yang bermula pada jam 10 pagi hingga 11 pagi ini menampilkan YBrs. Profesor Madya TPr Dr Marlyana Azyyati Marzukhi dari Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Selangor, sebagai penulis buku yang dibincangkan. Tajuk buku yang menjadi fokus perbincangan ialah Neoliberalism, Governance and Public Participation in the Malaysian Planning System. Program ini dianjurkan oleh Penerbit UiTM dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Shah Alam.
Program dimulakan dengan pengenalan kepada terma-terma penting seperti "neoliberalisme", "tadbir urus", dan "penyertaan awam", di mana penulis buku memperincikan konsep-konsep ini untuk memberikan pemahaman yang lebih mendalam kepada para hadirin.
Dr Marlyana kemudian memperkenalkan buku beliau dengan mengupas setiap bab yang terkandung dalam penulisan tersebut, yang mana setiap bab memberi penekanan terhadap aspek-aspek penting dalam perancangan bandar di Malaysia. Perbincangan turut merangkumi bagaimana fahaman neoliberalism memberi kesan kepada sistem perancangan bandar, dengan merujuk kepada contoh-contoh pelaksanaan di negara-negara luar.
Selain itu, penulis buku turut mengambil peluang untuk memberi sedikit pendedahan mengenai fungsi seorang perancang bandar dalam memastikan pembangunan yang dirancang adalah selaras dengan keperluan masyarakat dan alam sekitar.