SESI SANTAI ILMU SIRI 07/2024: EKSA PEMANGKIN PRODUKTIVITI
OBJECTIVE
PERLIS, 20 September 2024 - Program Sesi Santai Ilmu Siri 07/2024 yang dianjurkan oleh Bahagian Pentadbiran dan Perpustakaan Dato' Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis telah diadakan dengan jayanya pada pagi ini di Bilik Latihan, Bangunan Pentadbiran UiTM Cawangan Perlis. Program ini diterajui oleh Pn. Rosma Malini Md Aus, Pegawai Eksekutif Kanan UiTM Cawangan Perlis sebagai pembentang utama. Program yang berlangsung dari jam 9:00 pagi hingga 10:00 pagi ini berjaya menarik kehadiran seramai 26 orang peserta. Pn. Rosma Malini membentangkan mengenai objektif dan faedah pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam usaha meningkatkan produktiviti di tempat kerja. Beliau menekankan bagaimana EKSA mampu mempertingkatkan keberkesanan pengurusan pejabat serta mewujudkan suasana kerja yang lebih tersusun dan produktif. Selain itu, pembentangan turut menjelaskan mengenai amalan-amalan EKSA yang dapat memperbaiki proses kerja dan memastikan keberkesanan dalam penggunaan sumber. Peserta program didedahkan dengan pelbagai manfaat EKSA, termasuk peningkatan moral pekerja dan penjimatan kos melalui pengurusan tempat kerja yang efisien. Sesi soal jawab yang berlangsung pada akhir program memberi peluang kepada peserta untuk bertanyakan soalan serta berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan EKSA di tempat kerja masing-masing. Program ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman serta menyemai semangat untuk mengaplikasikan prinsip-prinsip EKSA bagi mencapai persekitaran kerja yang lebih produktif dan efisien.