Sesi Santai Ilmu Siri 13/2024: “Tekanan Darah + Kolesterol = Kematian”
OBJECTIVE
Sesi Santai Ilmu Siri 13/2024: “Tekanan Darah + Kolesterol = Kematian” Beri Kesedaran Kepada Staf UiTM Perlis
PERLIS, 8 November 2024 - Program Sesi Santai Ilmu Siri 13/2024 bertajuk “Tekanan Darah + Kolesterol = Kematian” telah berjaya dianjurkan oleh Bahagian Pentadbiran dan Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, UiTM Cawangan Perlis. Program ini berlangsung di Bilik Latihan, Bangunan Pentadbiran dari jam 9:30 pagi hingga 11:30 pagi dengan kehadiran seramai 40 peserta. Pembentang bagi sesi kali ini ialah En. Mohd Ariff Awang, Penolong Pegawai Perubatan Kanan, Unit Kesihatan UiTM Cawangan Perlis.
Program ini dimulakan dengan sesi pemeriksaan tekanan darah tinggi yang dikendalikan oleh Staf Unit Kesihatan UiTM Cawangan Perlis, diikuti dengan dua pembentangan utama.
Sesi Pembentangan 1 yang bertemakan Hipertensi membincangkan jenis-jenis tekanan darah tinggi, komplikasi, tanda dan gejala, kaedah mengambil tekanan darah, risiko aneurisme otak, serta rawatan dan penggunaan ubat-ubatan.
Sesi Pembentangan 2 pula menyentuh topik Kolesterol, yang meliputi jenis-jenis kolesterol, tanda-tanda kadar kolesterol tinggi, semakan kadar kolesterol, serta langkah-langkah rawatan dan pencegahan.
Sesi ini turut menyediakan ruang untuk soal jawab, memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan pencerahan lanjut mengenai isu kesihatan yang dibincangkan.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan staf UiTM mengenai bahaya tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang berisiko membawa kepada komplikasi serius, termasuk kematian. Peserta turut diberikan panduan praktikal untuk memantau kesihatan mereka sendiri sebagai langkah pencegahan awal.
Sesi ini diharapkan dapat menyemai kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan sebagai usaha melindungi kesejahteraan individu dan komuniti.