BOOK TALK WITH AUTHOR - CREME BRULEE I & CREME BRULEE II
OBJECTIVE
Pada 10 Disember 2024, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Shah Alam, dengan kerjasama Penerbit UiTM telah menganjurkan program Book Talk With Author Siri Ke-11. Program ini berlangsung dari jam 11 pagi hingga 12 tengah hari di Experiential Learning Space, PTAR, dan turut disiarkan secara langsung melalui platform YouTube Live dan Facebook Live, menjadikan ia sebuah acara yang inklusif untuk pelbagai lapisan penonton.
Program kali ini membincangkan dua buah buku bertajuk Creme Brulee I dan Creme Brulee II. Diskusi menarik ini menampilkan tiga panel iaitu Puan Saidah Ismail, Puan Haslinda Md Isa, dan Encik Nor Azhar Mohd Taib, dengan bimbingan moderator Cik Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, seorang pustakawan berpengalaman dari PTAR.
Program dimulakan dengan pengenalan kepada buku Creme Brulee I dan Creme Brulee II. Panel membincangkan secara terperinci bab-bab yang terdapat dalam kedua-dua buku ini, termasuk tema, gaya penyampaian, dan isi kandungan yang berkait rapat dengan penguasaan bahasa Perancis.
Seterusnya, panel berkongsi mengenai proses kreatif di sebalik penulisan buku-buku ini, termasuk cabaran yang dihadapi serta pertimbangan dalam pemilihan tajuk bagi setiap bab. Diskusi ini memberi peluang kepada penonton untuk memahami secara mendalam proses menghasilkan sebuah buku yang berkualiti dan menarik.
Salah satu aspek menarik yang diketengahkan ialah cara pembelajaran dan penguasaan bahasa Perancis. Panel berkongsi strategi dan kaedah pembelajaran yang berkesan, menjadikan sesi ini amat relevan bagi mereka yang berminat untuk mendalami bahasa asing, khususnya bahasa Perancis.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab bersama penonton di studio dan secara atas talian. Soalan yang diajukan oleh para hadirin meliputi pelbagai topik menarik, termasuk tips menulis dengan lebih efektif, cara memupuk minat terhadap bahasa asing, serta pandangan panel terhadap kepentingan pembelajaran bahasa dalam konteks globalisasi.