RAMADAN & AL-QURAN: PERKONGSIAN INSPIRASI BERSAMA USTAZ MOHAMAD SOFIAN
PSB Online | 23 Mac 2025 – Badan Kebajikan & Amal Kakitangan Perpustakaan (BAKAL) sekali lagi menganjurkan Ceramah Ramadan Siri 2 yang disampaikan oleh YBhg. Ustaz Mohamad Sofian Haji Hussain, seorang pendidik dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau, Perlis.
Dalam ceramah bertajuk “Ramadan & Al-Quran”, Ustaz Mohamad Sofian membuka sesi dengan kisah Nabi Daud, Thalut dan Jalut, mengaitkan kekuatan iman dan pertolongan Allah dalam menghadapi musuh, serta merujuk kepada situasi semasa di Gaza.
“Allah tidak akan memusnahkan dunia tanpa menguji umat-Nya terlebih dahulu sebelum memberi kemenangan,” ujar beliau, mengajak hadirin merenung nasib saudara seIslam di Gaza.
Beliau turut menjelaskan asal-usul Ramadan dan kepentingannya sebagai bulan penyucian diri, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang membakar dosa dan memperkukuh keimanan.
“Bagaimana dengan Ramadan kita? Membakar dosa atau membakar lemak?” selorohnya sambil mengundang tawa.
Ustaz Sofian juga berkongsi amalan dan tahap muhasabah diri berdasarkan pendekatan ulama seperti Imam Sahl al-Tustari. Antara konsep penting yang disentuh ialah:
-
Musharakah – Kerjasama dalam kebaikan
-
Muraqabah – Kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati
-
Muhasabah – Penilaian dan refleksi diri
-
Mua’qobah – Hukuman atau pembetulan kesalahan
-
Mujahadah – Usaha bersungguh-sungguh dalam beribadah
-
Muhasarah – Mengekang diri daripada perkara yang melalaikan
-
Muqasyirah – Menyedari nikmat kecil yang sering diabaikan
-
Mushahadah – Merasai kehadiran Allah dalam hati
Akhirnya, beliau menyeru umat Islam agar memanfaatkan Ramadan sepenuhnya untuk memperbaiki diri, mengikuti sunnah Rasulullah SAW, dan meningkatkan hubungan dengan Allah SWT.
Ceramah ini bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga menyentuh hati para pendengar untuk terus istiqamah dalam ibadah sepanjang Ramadan.