Bedah Buku & Deklamasi Puisi Meriahkan Sudut Bacaan Read@CALC Oktober 2025
3 Oktober 2025 – Suasana di Sudut Bacaan Read@CALC, Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa, UPM cukup meriah dengan penganjuran program Bedah Buku & Deklamasi Puisi/Sajak anjuran Jawatankuasa Sudut Bacaan Read@CALC dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan dan Sosial Kakitangan (JKSK). Program yang bermula pada jam 9:30 pagi itu menampilkan Puan Siti Muslihah Isnain, seorang guru bahasa dari Bahagian Bahasa Melayu dan Bahasa Global, sebagai pengulas utama. Beliau membedah karya agung Sasterawan Negara A. Samad Said, "Salina", yang menjadi fokus perbincangan dalam sesi kali ini. Puan Siti Muslihah berjaya mengupas pelbagai dimensi novel" Salina", termasuk tema kemanusiaan, ketabahan wanita, serta realiti pascaperang yang sarat emosi dan kritikan sosial. Hadirin turut diberi peluang untuk bertanya dan berdiskusi, menjadikan sesi bedah buku ini interaktif dan penuh makna. Program ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga CALC, malah sebagai platform untuk mengekspresikan apresiasi terhadap karya sastera tanah air.