FORUM ILMUWAN MALAYSIA MADANI SIRI 1 : BINCANG HALA TUJU PERALIHAN TENAGA MAMPAN UNTUK MASA DEPAN YANG SEJAHTERA

Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, telah hadir ke Forum Ilmuwan Malaysia MADANI anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Grand Hyatt Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri, FIM merupakan sebuah platform dialog intelektual penting yang telah menghimpunkan para ilmuan, tokoh industri dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini untuk membantu kepimpinan negara merangka dasar serta polisi masa hadapan.

FIM akan dilaksanakan secara bersiri bermula September 2024 hingga Ogos 2025 dengan setiap siri akan dihoskan oleh Syarikat Berkepentingan Kerajaan (Government Linked Companies - GLC) melibatkan penyertaan lebih 200 orang peserta, terdiri daripada ahli tetap dan jemputan khas. 

Setiap GLC tersebut akan menganjurkan forum dengan topik yang berkait dengan Kerangka Ekonomi MADANI berdasarkan tujahan serta kepakaran bidang industri masing-masing.

Justeru, siri pertama malam tadi telah membincangkan tema 'Mencorak Peralihan Tenaga Yang Mampan Untuk Masa Depan Negara Yang Sejahtera' cocok dengan peranan TNB sebagai peneraju industri tenaga Malaysia.

Bersama YAB Perdana Menteri dalam sesi forum tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang telah berkongsi peranan sektor pendidikan tinggi dalam menyokong peralihan tenaga; Pengerusi TNB, Tan Sri Razak Abdul Majid yang menerangkan peranan serta hala tuju peralihan tenaga negara; serta Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali yang turut berkongsi berkenaan cabaran ekonomi negara.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Sri Shamsul Azri Abu Bakar; para pemain industri tenaga tempatan; serta pengurusan tertinggi KPT dan TNB.

Sumber : Facebook Kementerian Pengajian Tinggi