Bengkel Speed Reading Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran (JAIM) Al-Abqari
23 Oktober 2024, Rabu - Pasukan Bacaan Pantas Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka telah menerima kunjungan pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran (JAIM) Al Abqari Tanjung Bidara Melaka bagi mengikuti Bengkel Bacaan Pantas. Bengkel dijalankan di ruang Silent Zone, PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Bengkel Bacaan Pantas ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran membaca yang lebih efisien dalam kalangan peserta, di samping membantu meningkatkan tahap literasi dan kefahaman dalam menghadapi pelbagai cabaran dunia akademik dan profesional. Bengkel ini menjadi platform yang bermanfaat untuk semua peserta dalam meningkatkan keupayaan pembacaan mereka, seterusnya menjadikan membaca sebagai satu tabiat harian yang positif.
Bengkel ini telah dihadiri seramai 39 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring, iaitu Encik Mohamed Reza Md Ali, Encik Abdul Hadi Abdullah dan Encik Muhammad Basyir Muhammad Phuze. Taklimat bengkel telah disampaikan oleh Puan Maznah Maarof dan Puan Siti Haidah Md Aziz, Pustakawan Kanan serta turut dibantu oleh Encik Muhamad Firdaus Zakaria dan Encik Muhammad Shafiq Snin , Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Melaka.
Objektif Bengel Bacaan Pantas ini diadakan adalah :
1. Meningkatkan Keupayaan Bacaan Pantas
2. Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Masa
3. Menggalakkan Tabiat Membaca yang Lebih Produktif
4. Memperkasakan Kemahiran Menyaring Maklumat
5. Mengurangkan Tekanan Membaca Bahan Akademik
6. Meningkatkan Kefahaman Membaca
Pelajar didedahkan dengan asas dan teknik bacaan pantas serta latihan membaca yang dapat membantu pembacaan yang lebih efektif. Penceramah turut menyediakan soalan kuiz program dan hadiah-hadiah yang menarik kepada pelajar. Sebelum program ini berakhir, ucapan daripada Encik Mohamed Reza Md Ali, selaku wakil guru, mengulas mengenai sepanjang bengkel yang telah dijalankan dan ucapan penutup daripada Encik Norhazlan Nordin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Melaka. Program ini juga diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata dan sesi bergambar.