Program Khidmat Komuniti menaiktaraf perpustakaan Masjid Jamek Tanjong Malim

Penutup tirai bagi tahun 2024.
Syukur alhamdulillah, Perpustakaan Tuanku Bainun(PTB) telah selesai merealisasikan impian pengurusan tertinggi Masjid Jamek Tanjong Malim bagi memberi suasana yang baru dilengkapi dengan koleksi buku terkini, dinding yang telah dicat semula serta dekorasi yang menarik. Program Khidmat Komuniti menaiktaraf perpustakaan Masjid Jamek ini adalah julung kali diadakan. Justeru, PTB amat berbesar hati apabila pihak masjid Jamek memohon agar kami dapat membantu dalam membuat transformasi perpustakaan masjid yang lebih kondusif. Ini membuktikan bahawa keterlihatan UPSI sebagai pakar rujuk dalam lapangan masing-masing.
Sebelum transformasi, perpustakaan masjid ini dijadikan tempat penyimpanan barang-barang lama dan kini telah berubah sepenuhnya serta diberi nama Perpustakaan Haji Zainuddin, Tanjong Malim. Seramai 18 orang staf PTB dan 20 orang pelajar daripada Kelab Al-Mursyiddin Pusat Islam UPSI serta Kelab Sahabat Perpustakaan telah berkampung selama 5 hari bermula pada 14 Oktober hingga 18 Oktober 2024. Pada hari ini majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Salina Samsudin, Adun Behrang. Turut hadir bersama adalah Orang Besar Jajahan Muallim, Toh Paduka Setia Dato’ Ir. Dr. Safry Kamal bin Hj. Ahmad, Ketua Pustakawan UPSI, Cik Noriha Muhammad dan Ikon Membaca UPSI, Tuan Zamri Mohammad.
Selain memberi khidmat rujuk dan konsultasi, Perpustakaan Tuanku Bainun turut menyerahkan koleksi buku terkini sebanyak 50 naskhah bernilai RM1,000.00 kepada pihak masjid.
Pujian harus diberi kepada pengurusan pihak masjid Jamek yang sedar dan peka akan pentingnya perpustakaan masjid ini dinaiktaraf sebagai satu pusat interaksi sesama masyarakat dalam proses membina kehidupan dan membudayakan ilmu pengetahuan. Ianya bukanlah sekadar berfungsi sebagai pusat melaksanakan ibadah khusus kepada Allah tetapi lebih dari segala-galanya.
Justeru itu, besar harapan kami agar pihak masjid dapat menggerakkan pelbagai aktiviti pembudayaan ilmu. Maka, akan sibuk dan bercahayalah masjid dan tidak hanya dibuka pada waktu solat saja.