Pemantauan Projek Komuniti Bei Bebaca Orang Asli Chenan Cherah, Cameron Highlands

13 - 14 Februari 2025 - Permulaan bagi tahun 2025, PTB telah melaksanakan pemantauan projek komuniti Bei Bebaca di perkampungan orang asli Chenan Cherah, Cameron Highlands. Tujuan utama pemantauan ini adalah untuk menambahbaik keadaan perpustakaan atau Bei Bebaca dan membawa sumbangan koleksi tambahan sebanyak 235 naskhah yang diterima daripada Perpustakaan Negara Malaysia.

Dengan kekuatan staf seramai 4 orang, mereka berada di kampung yang tiada bekalan elektrik selama dua hari satu malam dengan pengisian aktiviti seperti pemasangan rak buku baru, penyusunan buku serta aktiviti membaca bersama anak-anak orang asli. Turut hadir sama melihat kerja-kerja menambahbaik Bei Bebaca ini adalah Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Tanah Daerah Cameron Highlands, Tuan Muhammad Shukri Abdul Aziz yang menyempurnakan Program Jalinan Kasih Perkampungan Orang Asli Chenan Cherah bersama pelajar Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI.

Terima kasih kepada staf PTB yang menyanggupi amanah ini. Semoga kehadiran kita di kampung Chenan Cherah mewarnai hati anak-anak orang asli dengan pelangi keindahan dan kita terus menjadi cahaya yang menerangi mereka dengan berkongsi sumber ilmu yang ada.