کوليکسي
⬩ KOLEKSIRepositori Persuratan Jawi Dipromosikan di Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK)
Tarikh: 21 Ogos 2025 | 27 Safar 1447H
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM terus memperluaskan jalinan strategik bersama institusi pendidikan tradisi apabila satu lawatan dan perbincangan awal telah diadakan bersama pihak Pengurusan Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (YIK), Kandis, Bachok. Lawatan ini diketuai oleh Dr. Muslim Ismail@Ahmad (Timbalan Ketua Pustakawan), Dr. Ahmad Murshidi Mustapha (Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari) serta beberapa orang staf PTAR.
Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan Repositori Persuratan Jawi dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pondok. Sebagai institusi pondok moden di bawah YIK, pusat pengajian ini berperanan menyelaras serta memperkasa tradisi pengajian kitab turath (kitab kuning) di Kelantan, di samping mengintegrasikan sistem pembelajaran moden agar lebih tersusun dan relevan dengan keperluan semasa. Usaha ini sekali gus mengekalkan identiti Kelantan sebagai “Serambi Mekah” yang kaya dengan warisan ilmu.
Fokus perbincangan turut menjurus kepada inisiatif pendigitalan tesis pelajar Pusat Pengajian Pondok untuk dimuatkan ke dalam Repositori Persuratan Jawi PTAR, serta cadangan pembangunan Koleksi Khas Kitab Abuya Syeikh Hj. Wazir Al-Makki, yang bakal menghimpunkan koleksi peribadi seorang tokoh pondok terkemuka.
Langkah ini diyakini mampu memperluas akses ilmu, mendekatkan warga pondok dengan teknologi digital, serta memperkukuh peranan PTAR dalam pemeliharaan dan pemasyarakatan khazanah persuratan Jawi di peringkat nasional.
ڬالري
⬩ GALERI