Cokmar Universiti’TeknoIogi MARA merupakan sebilah keris dan dua batang tombak. Ia melambangkan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera yang ulung, kukuh dan murni. Motif ukiran yang terdapat pada cokmar menepati makna dan tujuan cokmar ini dihasilkan. Motif ini menggambarkan Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong sebagai Canselor UiTM, berkesinambungan dengan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Bumiputera yang terulung. Keris ini dikenali sebagai “Keris Potong Barat”. Potongan dan bentuknya tidak diubahsuai untuk mengekalkan ciri-ciri keaslian dan ketulenan keris Melayu sebagai melambangkan falsafah penubuhan Universiti ini.
Motif ukiran pada hulu keris ialah motif bunga petola kuning, pendokoknya bermotifkan pucuk rebung dan sarungnya bermotifkan bunga tanjung. Bunga petola pada hulu keris berwarna kuning Diraja menggambarkan simbol kepada Kesultanan Melayu. Motif bunga tanjung pada sarung keris pula melambangkan identiti negeri Selangor, bersesuaian dengan kedudukan UiTM yang berpusat di negeri Selangor Darul Ehsan. Logo UiTM diletakkan di atas ukiran perak di pangkal sarung keris. Di bahagian tengahnya pula terdapat tulisan jawi khat tuluth mempamerkan motto UiTM iaitu “Usaha, Taqwa, Mulia"
ڬالري
⬩ GALERI